Majlis Hari Terbuka Pi1M Kampung Banggol, Setiu

20 September 2014 | Sabtu

Program Hari Terbuka Pi1M Kampung Banggol, Setiu yang telah dijadualkan pada 20 September 2014 telah mendapat sambutan yang luar biasa daripada penduduk kampung dan pelajar sekolah. Program yang telah mendapat kerjasama daripada krew Digi Telecommunication Sdn. Bhd ini telah menarik minat penduduk kampung dan pelajar sekolah untuk turut serta dalam aktiviti yang dijadualkan seperti Klik dengan Bijak, Online Game, Pertandingan Mewarna, Pertandingan Sukaneka, Pertandingan Gubahan, Pertandingan Masakan dan Pertandingan Wau Kreatif. Program Hari Terbuka yang julung-julung kali diadakan di Pi1M Kampung Banggol, Setiu ini bermula seawal jam 9.30 pagi dengan tayangan Klik Dengan Bijak. Aktiviti diteruskan dengan Pertandingan Online Game dan Pertandingan Mewarna bagi pelajar sekolah Tahap 1 dan Pra Sekolah. Pada sebelah petang, aktiviti beralih pula kepada golongan dewasa iaitu Pertandingan Gubahan, Pertandingan Masakan dan Pertandingan Wau Kreatif. Pertandingan Masakan yang disertai oleh 9 orang peserta telah menghidangkan masakan berasaskan Daun Kesum, Bunga Kantan dan Nenas. Masakan mereka telah Berjaya membuka selera juri yang mengadili dan persembahan makanan mereka sangat memuaskan. Beralih kepada Pertandingan Wau Kreatif, peserta yang terdiri daripada 11 orang lelaki dewasa telah mempamerkan wau mereka dengan pelbagai rekabentuk dan hiasan yang menarik. Ada yang mempamerkan Wau Bulan, Wau Kapal Terbang, Wau Burung dan pelbagai lagi. Sementara Pertandingan Gubahan yang melibatkan 5 orang peserta tidak kurang hebatnya. Mereka hanya dibenarkan menggubah 1 gubahan sahaja sama ada Tuala, Kain Batik, Kain Pelikat atau Sejadah. Aktiviti sebelah petang adalah sukaneka dan majlis penyampaian hadiah. Pihak Pi1M turut mengadakan cabutan No Bertuah kepada ahli Pi1M yang telah berdaftar. Program Hari Terbuka Pi1M Kampung Banggol, Setiu telah tamat jam 6.00 petang.

Berikut adalah gambar sepanjang aktiviti Majlis Hari Terbuka ini dijalankan: